Logo CEO Faculty Programme Logo KPT and Soaring Upwards

Dr. Hari Narayanan dinobatkan Anugerah Tokoh Industri 2018

Pekan, 26 Mac- Universiti Malaysia Pahang (UMP) menganugerahkan Tokoh Industri 2018 kepada Pengarah Urusan Motorola Solutions Malaysia Sdn Bhd, Dr. Hari Narayanan atas sumbangan dan komitmen berterusan terhadap universiti terutamanya dalam menjayakan program CEO@Faculty yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melibatkan tokoh-tokoh korporat yang berwibawa daripada syarikat berkaitan kerajaan, industri-industri terkemuka dan pegawai tertinggi dalam perkhidmatan awam.

Dr. Hari merupakan adjunct Profesor di Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik UMP sejak tahun 2015 dan merupakan salah seorang daripada ahli Lembaga Pengajian di Fakulti Pengurusan Industri sejak tahun 2017. 

Dengan 200 jam jumlah pengajaran termasuk program syarahan umum, pengurusan projek, sesi penasihatan projek dan lain-lain termasuk pelaksanaan Six Sigma Quality, Imaging Technologies dan Acoustic Engineering membabitkan lebih 4000 penyertaan membuatkan Dr. Hari begitu sinonim dan dekat di hati warga UMP.

Penyampaian anugerah disampaikan Naib Canselor UMP, Profesor Dato Sri ts Dr. Daing Nasir Ibrahim dalam Program CEO@Faculty Programme bertajuk ”Industry 4.0- Manufacturing and Products/Solutions Perspectives” oleh Dr. Hari Narayanan yang berlangsung di Dewan Kuliah Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan semalam.  

Menurut Profesor Dato Sri ts Dr. Daing, program CEO@Faculty memberi peluang pemimpin industri berkongsi pengalaman dengan mahasiswa dalam universiti sebagai pensyarah tamu ataupun mengadakan pertemuan dan perbincangan berkaitan pembangunan projek dan sebagainya.

”Pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran ini akan meningkatkan pengetahuan dan pengumpulan maklumat melalui interaksi mereka dengan tokoh utama dalam industri. Ianya juga memberi pengalaman yang sangat bernilai yang bukan sahaja dalam dewan kuliah malahan berdepan dengan suasana industri yang sebenar,” katanya. Ujar beliau, usaha ini pastinya selari dengan hasrat universiti dalam melonjakkan pencapaian Pelan Strategik UMP 2016-2020 iaitu dalam aspek Keunggulan Akademik.

Dalam pada itu, Dr. Hari Narayanan melahirkan rasa gembira dan teruja pada setiap kali program dilaksanakan dan tidak menyangka menerima penganugerahan tertinggi ini. Beliau berharap program ini dapat melahirkan graduan berpengetahuan luas yang mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran kerja di samping pendedahan terhadap suasana sebenar di industri.

Dengan pengkongsian pengalaman ini ianya telah memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan pelbagai input secara terus daripada pihak industri yang mana ianya berguna dalam dunia kerjaya selain mampu meningkatkan kebolehpasaran dalam kalangan graduan kelak terutamanya berdepan dengan industri 4.0 dan masa depan.

Peluang bertemu dan berinteraksi dengan mahasiswa dan pensyarah Universiti dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mendengar pandangan dan idea baharu bagi memantapkan program ini pada masa akan datang di samping menyediakan lebih banyak peluang melalui pelaksanaan program sangkutan industri oleh pensyarah, latihan industri pelajar, projek tahun akhir dan sebagainya.

Malahan manfaat daripada kerjasama universiti – industri ini turut dikukuhkan melalui sumbangan sumbangan lapan set radio mudah alih dan radio amatur yang lengkap yang bernilai RM 22,000 dan Anechoic Chamber bagi tujuan pembelajaran dan pengajaran pelajar dan penyelidik UMP bernilai 400,000.  

Selain itu sumbangan tanggungjawab sosial yang turut disumbangkan melalui tabung endowmen pelajar di bawah inisiatif MyGift berjumlah RM51,000 dan menyokong pelaksanaan Program Sains Teknologi dan Matematik (STEM) bernilai RM 31,826 dan lain-lain.  Dalam pada itu, Dr. Hari pernah dinobatkan penerima Anugerah CEO Terbaik, Anugerah CEO Paling Menyerlah dan Anugerah CEO Paling Aktif  oleh pihak KPT.