Logo CEO Faculty Programme Logo KPT and Soaring Upwards
Share this article on Facebook:

Jejak Seni: Dari Pentas Bangsawan ke Media Prima Berhad

Jejak Seni merupakan penceritaan pengalaman luar biasa seorang insan seni yang bermula sebagai penarik tirai bangsawan hingga menjadi pengerusi syarikat media terbesar negara. Ini merupakan kisah seorang karyawan yang dicorakkan oleh pengalaman awal membesar di sebuah kampung kecil – Sungai Balang Besar, Muar, Johor - yang walaupun terpinggir tetapi kaya dengan adat resam dan tradisi kesenian.Johan Jaaffar pergi ke sekolah Inggeris – Peserian Primary English School – pada tahun 1960 dengan hanya berbekalkan tiga perkataan Inggeris. Beliau akhirnya menjadi penulis terkenal dan wartawan yang disegani, malah pernah memimpin syarikat Utusan Melayu – yang dianggap “suara keramat” orang Melayu selama lebih enam tahun (1992 – 1998). Johan juga dikenal sebagai tokoh korporat, menjadi lembaga pengarah beberapa buah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia selain menjadi Pengerusi Media Prima Bhd (MPB), syarikat raksasa yang memiliki rangkaian stesen TV dan radio selain terbabit dalam penerbitan kandungan kreatif, iklan luar dan penghasilan melalui talian. Beliau sendiri terbabit dalam perniagaan, mengasaskan antara lain Sekolah Persendirian Sri Nobel dan menjadi pengerusinya.

Beliau bagaimanapun lebih dikenal sebagai penulis dan budayawan. Beliau memenangi Hadiah Karya Sastera (Hadiah Sastera Perdana) dalam tiga kategori berbeza – drama adaptasi, drama asli dan cerpen. Beliau menulis novel, cerpen, esei, rencana, kritikan dan pojok selain membuat pemberitaan sebagai wartawan. Tetapi dalam bidang senilah beliau lebih dikenali.Sejak di sekolah rendah, beliau bukan sahaja terdedah dengan teater tradisi masyarakat Jawa di kampungnya tetapi juga mengagumi kedatangan “funfair” bersama Wak Ular dan anak-anaknya dan kemudiannya Kumpulan Bangsawan Bintang Timur Opera milik Bakar M. Buku ini secara jujur menggalurkan pembabitan beliau di belakang pentas bangsawan, kemudiannya terbabit dengan kumpulan sandiwara kampung yang terdiri di atas runtuhan bangsawan.

Beliau aktif di sekolah dan menjadi salah seorang penggerak teater di Universiti Malaya (UM) pada tahun 70-an. Malah di UM beliau “ditemui” oleh Usman Awang sewaktu “Malam Berbunga Sajak 2” pada tahun 1975. Drama “Kotaku Oh Kotaku” menghiasi muka depan Dewan Sastera pada bulan Mac 1976. Melalui karya-karya penting beliau “Kotaku Oh Kotaku”, “Angin Kering” dan “Sang Puteri” beliau dikatakan menjadi salah seorang pelopor “teater absurd”.

Pembabitan Johan bukan sahaja dalam teater absurd atau eksperimental tetapi juga teater bercorak realistik, malah menggunakan nama pena “Jaafar Khan” terbabit dalam penulisan banyak drama TV yang bermutu pada era RTM akhir tahun 70-an dan awal 80-an. Beliau antara lain menulis skrip “Asy Syura”, “Angin Bila Menderu”, “Pak Tua” dan “Pemandu Teksi” serta beberapa episod “Pi Mai Pi Mai Tang Tu” arahan Othman Hafsham untuk TV3.Johan mendampingi Kumpulan Anak Alam sejak di UM lagi dan beliau banyak mementaskan drama menggunakan label kumpulan itu. Johan kemudiannya aktif dengan Badan Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan membuat adaptasi pentas untuk novel Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman (karya Anwar Ridhwan) dan Salina (karya A. Samad Said) serta cerpen “Rumah Kedai Di Jalan Seladang” (karya A. Samad Ismail).Selain menulis skrip, Johan juga berlakon antara lain di bawah arahan Othman Haji Zainuddin, Hatta Azad Khan, Mustapha Noor dan Zakaria Ariffin.Buku ini merakamkan kisah pembabitan Johan dalam dunia seni selama 50 tahun.

Selama 50 tahun itu, Johan aktif dalam dunia seni melalui pelbagai kapasiti – melalui pelbagai pengalaman menarik, terbabit dengan pelbagai personaliti, terlibat dalam pelbagai kontroversi dan turut menjadi sebahagian daripada sejarah seni budaya bangsa.Kisah ini tidak berlegar di pentas bangsawan, sandiwara atau teater moden, tetapi membawanya ke wayang Cina, menjadi ku xiao zi, juga membuat “busking” teater di jalanan bersama teman-teman Anak Alam. Kemiskinan yang mencorakkan kehidupannya membawanya ke dunia yang luar biasa pula – daripada menumpang lori sayur untuk pergi ke UM, menjadi pekerja di kedai motor di Bangsar dan membersihkan tandas di bangunan NSTP di Jalan Riong, Bangsar, syarikat yang kemudian dimiliki sepenuhnya oleh MPB yang menjadi tempat beliau menjadi pengerusinya 44 tahun kemudian.

Mendengar kisah Johan seperti melayari sejarah kesenian negara yang melalui pelbagai era dan perubahan. Maka itu, perkongsian ini unik dan istimewa kerana Johan bukan sahaja aktivis tetapi perakam dan ideolog zamannya.


Share this article on Facebook:

By Tan Sri Johan Jaafar

on 05 June 2017 (1 year ago)

Number of views: 1